Pengenalan

Alam semula jadi merupakan guru agung yang telah lama meminjamkan inspirasinya kepada manusia untuk melahirkan karya seni yang menjadi cerminan kehidupan. Buana yang disanjung, melantunkan irama harmoni alam semesta, menterjemahkan damai sejuk di rimba nan hijau, tempat dedaun berbisik dalam bisikan angin, dan riuh unggas memahat melodi kehidupan. Aman tersulam dalam pelukan hutan, di mana setiap bayangan dan bisikan menggambarkan syukur semesta, menjelmakan ketenangan yang tiada bandingan. Manakala rakus dunia baru, alam seperti puisi tanpa aksara, melambangkan harapan yang abadi, kerentanan yang halus dan keindahan yang sering direnggut oleh cabaran moden. Ia mengungkap naratif tentang identiti, kehilangan, dan perjuangan untuk mendamaikan diri dengan dunia yang semakin jauh dari keharmonian. Daripada nukilan Moulana Ashraf Ali Thanwi RA menyatakan realiti ilham adalah pemikiran yang diletakkan di dalam hati secara langsung tanpa dapat dilihat (ghaib). 

Begitu juga, dalam reka bentuk barang kemas, alam adalah kanvas dan falsafah, tempat di mana seni bertemu jiwa. Setiap hiasan ukiran dan kilauan permata, membawa gema keindahan unggul, menghubungkan manusia dengan alam yang sering terabai (Hashim, 2021). Barang kemas yang diinspirasikan oleh alam melangkaui fungsi estetiknya, menjadi simbol keterhubungan antara manusia dan kehidupan yang fana tetapi bermakna. Seperti metafora dalam sastera yang menghidupkan imaginasi, barang kemas membawa naratif yang sejajar iaitu membangkitkan penghargaan terhadap akar semula jadi kepada terhasilnya karya agung yang berharga. Dalam kilauan permata yang menyerupai langit senja, tersembunyi falsafah bahawa kecantikan bukan sekadar luaran, tetapi adalah simbolik akan keagungan dan kerapuhan alam. Seni ini menyatukan keabadian dan waktu, mencipta jambatan yang menghubungkan manusia dengan dunia yang lebih besar, menyentuh emosi dan membuka minda kepada naratif kehidupan.

Barang kemas tradisional dan moden, meskipun berbeza wajah, tetap berakar pada keindahan abadi alam. Barang kemas tradisional adalah pusaka jiwa, warisan yang meniti zaman dengan penuh makna. Namun, seperti angin yang membawa aroma bunga liar, seni ini terus berkembang, menyerap nafas baru daripada alam yang kekal abadi. Transformasi barang kemas tradisional ke arah reka bentuk bertemakan alam adalah kisah metamorfosis dari terjemahan akar budaya kepada tangkai kreativiti yang melakar semula hubungan manusia dengan alam semula jadi. Falsafahnya berpijak pada harmoni, tradisi dan alam bersatu dalam keseimbangan. Motif geometri dihiasi sulam ukiran dedaunan, bunga, dan alun air, mencerminkan keindahan semula jadi yang menyatu dengan nilai sejarah. Emas dan perak menjadi perantara, mengabadikan keajaiban langit, bumi, dan laut, membawa suara alam ke dalam seni purba.

Barang kemas moden pula menerjemah alam dengan cara yang lebih abstrak dan kontemporari. Gambaran garis lengkung contohnya, menyerupai alunan ombak, loket geometrik diolah ibarat sarang lebah, semuanya menceritakan hubungan manusia dengan alam dalam bahasa seni yang minimalis. Manakala, gabungan bahan seperti emas dan permata mencerminkan keseimbangan antara kekuatan dan kelembutan. Alam kekal menjadi inspirasi agung, menjalin kisah yang indah melangkaui zaman di situlah jurang antara tradisi dan inovasi.

Alam Sebagai Inspirasi Seni

Alam, dengan segala keindahannya, telah lama menjadi sumber inspirasi utama dalam seni. Dari pemandangan alam semulajadi yang memukau hingga keharmonian unsur-unsur semula jadi, alam memberi ruang untuk ekspresi yang mendalam dalam bentuk seni. Falsafah seni melihat alam sebagai sebuah metafora kehidupan, di mana manusia mencari makna melalui pemahaman terhadap dunia semula jadi (Hashim, 2020). Menurut Aristotle dalam Poetics, seni adalah peniruan (mimesis) terhadap alam, yang bukan sekadar tiruan fizikal, tetapi juga pencerapan terhadap kebenaran yang tersembunyi di dalamnya.

Dalam seni, alam menjadi suatu ruang di mana perasaan manusia bertemu dengan keabadian alam semesta, menghubungkan perasaan artistik dengan realiti yang lebih besar, mengajak kita untuk merenung tentang makna hidup dan alam semesta itu sendiri. Setiap rekaan baru adalah penghormatan kepada yang lama, sentuhan tafsiran segar sebagai contoh statement ring menggantikan lord of the ring, cincin yang mempamerkan kisah mitos dan alam (gambar bawah). Transformasi ini adalah dialog antara masa lampau dan masa kini, memupuk keinsafan bahawa tradisi tidak pernah mati malah ia berkembang bersama kehidupan. 

Keindahan dan fantasi bersatu dalam sebuah rekaan unik. Cincin ini menghidupkan elemen dongeng dan alam semula jadi, dengan peri yang lembut menjaga batu permata biru (Blue Topaz) yang memukau : sumber https://shorturl.at/NyKED

Berhubung dengan tema ‘The Role of Nature in Contemporary Literature’, reka bentuk cincin dalam gambar dapat dihubungkan dengan beberapa persepsi indah. Di jari manusia, cincin ini bukan sekadar hiasan, tetapi metafora tentang hubungan yang terjalin antara alam dan seni. Rekaan yang memadukan bunga yang mekar, dedaunan yang lembut, dan batu permata yang berkilau seolah-olah memahat puisi alam ke dalam logam mulia, menjadi simbolik akan peranan alam dalam kesusasteraan kontemporari.

Dalam naratif moden, alam adalah cerminan jiwa, di situlah tempat manusia mencari makna, menghayati kehilangan, atau menenun harapan. Begitu juga, cincin ini menuturkan cerita yang serupa. Batu permata Topaz yang berkilau di tengahnya melambangkan inti kehidupan, kekuatan bumi yang tidak pernah padam, seperti mesej-mesej ekologi yang sering kali menjadi teras sastera hari ini.  Unsur bunga dan tumbuhan di sekelilingnya adalah keserlahan visual tentang kerapuhan dan kemuliaan alam. Lui et al. 2017 menterjemahkan hasil seni dan sains bersatu melalui kristal buatan manusia di dalam peroses revolusi teknologi.

Dalam seni dan sastera, alam adalah ruang meditatif, di mana manusia berinteraksi dengan misterinya. Cincin ini, dengan reka bentuknya yang menggambarkan keajaiban semula jadi, menjadi jambatan antara kehidupan nyata dan simbolisme estetika, mengukuhkan falsafah bahawa kecantikan alam dan kreativiti manusia saling melengkapi. Sebagaimana karya sastera menyentuh emosi dan minda, cincin ini menyentuh hati, memupuk penghargaan terhadap dunia semula jadi dan inspirasi yang tidak berkesudahan.

Peranan Barang Kemas dalam Meraikan Keindahan Alam Semula Jadi

Barang kemas, dalam pelbagai bentuk dan warna, adalah cermin kepada keindahan alam semula jadi yang mengilhamkan manusia untuk mengubah dan memanifestasikan keindahan tersebut dalam bentuk yang abadi. Dalam falsafahnya, setiap perhiasan bukan hanya sekadar aksesori, tetapi merupakan manifestasi seni yang mempersonifikasikan elemen-elemen alam yang tak ternilai harganya. Sebagai contoh, berlian yang dipotong rapi seperti cermin memantulkan cahaya yang berasal dari alam semesta, menggambarkan keagungan dan keabadian. 

Emas, yang berkilau dalam sinar mentari, menyimbolkan keteguhan bumi dan cahaya matahari yang menerangi kehidupan. Mutiara, yang lahir dari dasar laut, mencerminkan keanggunan dan kesederhanaan dalam keindahan semulajadi yang terpancar dari perut bumi. Melalui barang kemas, manusia bukan hanya mengagumi ciptaan alam, tetapi turut menyatu dengan alam, menghormati unsur-unsur yang membentuk kehidupan ini. Ia adalah simfoni antara tangan manusia dan kekuatan alam, di mana kesederhanaan dan kemewahan bertemu untuk meraikan keindahan yang tiada tandingannya.

Alam adalah pentas yang memetik melodi keindahan, melakar puisi visual pada daun, bunga, dan bintang-bintang. Sebagai inspirasi agung, ia membimbing tangan tukang emas untuk menerjemahkan misterinya ke dalam rekaan barang kemas, mencipta karya yang memancarkan roh alam dalam bentuk yang abadi. Setiap ukiran pada logam mulia adalah gema bisikan angin yang menari di atas padang rumput. Batu permata yang berkilauan menyerupai embun pagi yang menyapa mentari, membawa keajaiban alam ke dalam dunia manusia. Ranting halus yang melingkar pada cincin atau bunga yang mekar pada loket adalah cerminan keindahan alam yang tidak pernah luput, menjadi simbol kelahiran, kerapuhan, dan keabadian.

Kelestarian Alam dalam Rekaan Barang Kemas Kontemporari

Alam ciptaan Tuhan merupakan gedung atau khazanah ilmu yang terlalu banyak menyimpan dan memiliki rahsia yang sentiasa tersedia untuk diterokai (Aziz, A., 2021). Di persimpangan seni dan alam, wujudlah falsafah kelestarian yang memandu tangan-tangan tukang emas dalam rekaan barang kemas kontemporari. Sehalus ukiran daun pada logam berkilauan, setiap rekaan bukan sekadar hiasan, tetapi suara alam yang berbisik tentang tanggungjawab dan cinta terhadap bumi. Kelestarian bukan sekadar istilah, tetapi nafas yang menghidupkan seni rekaan. Logam yang dikitar semula, batu permata dari sumber lestari, semuanya berbicara tentang harmoni antara manusia dan alam. Setiap keping barang kemas menjadi manifesto senyap, menuntut penghayatan terhadap keindahan tanpa merosakkan ekosistem yang melahirkan ilhamnya. 

Gagasan untuk mencipta organisma perhiasan yang tumbuh dan hidup, berinteraksi dengan tubuh pemakai, terus memberi inspirasi dengan idea dari konsep biomimikri (Katharina Vones, 2013). Pernyataan tersebut menggambarkan pendekatan kreatif dan inovatif dalam reka bentuk perhiasan, di mana penciptaan perhiasan bukan sekadar objek statik tetapi sesuatu yang mempunyai elemen kehidupan dan pertumbuhan. Perhiasan ini dirancang untuk berinteraksi secara dinamik dengan tubuh pemakai, seolah-olah menjadi sebahagian daripada mereka, mencerminkan hubungan simbiotik antara manusia dan ciptaan seni. Konsep biomimikri turut menjadi asas inspirasi, iaitu meniru struktur, fungsi, atau proses yang terdapat dalam alam semula jadi untuk mencipta reka bentuk yang lebih efisien dan harmoni. Dengan menggabungkan prinsip ini, perhiasan yang direka bukan sahaja estetik tetapi juga organik, meniru sifat-sifat makhluk hidup seperti fleksibiliti, kemampuan menyesuaikan diri, dan daya tahan.

Falsafah ini berakar dalam kesedaran bahawa alam adalah guru agung. Daun yang gugur, sungai yang mengalir, atau kilauan mentari pada embun pagi, kesemuanya adalah metafora yang diterjemah ke dalam rekaan. Barang kemas lestari mengingatkan kita bahawa kecantikan sejati terletak pada keseimbangan, bukan kerakusan. Dalam ketukan palu dan kilauan permata, tersembunyi doa agar alam terus subur dan makmur. Barang kemas kontemporari yang lestari adalah janji diam, bahawa seni dan alam mampu berpadu, mencipta dunia di mana keindahan tidak menuntut pengorbanan, tetapi pertautan kasih yang abadi. Dalam kilauan perak dan emas, tersembunyi narasi mitologi dan fantasi yang memaut jiwa kepada keajaiban alam. Barang kemas menjadi kanvas, tempat legenda dan elemen ghaib dilakar, membangkitkan dunia purba yang penuh misteri. Di setiap jemari tukang emas, hikayat para dewi, naga berapi, dan burung phoenix yang abadi dihidupkan, menyulam imaginasi dan keindahan dalam satu bentuk yang abadi. Mitologi membisikkan rahsia alam yang suci, menghidupkan motif daun sihir, bulan berselimut awan, dan bintang yang bergemerlapan di langit malam. Batu permata seakan bernafas dengan roh zaman lampau, membawa cerita tentang kuasa dan pelindungan. Ia menjadi jambatan antara fana dan abadi, menyeru manusia untuk kembali menghargai keajaiban yang melingkupi mereka.

Barang kemas yang terinspirasi dari fantasi alam tidak hanya menghias tubuh tetapi juga menjadi penjaga cerita. Setiap rekaannya adalah cerminan hubungan sakral antara manusia dan dunia yang tak terlihat, penuh keajaiban dan harapan. Dalam mitologi dan fantasi, seni menjadi bahasa yang membawa pesan bahawa walau teknologi menguasai, kita tetap berpaut kepada asal usul, kepada mimpi dan cerita yang menjadikan kita manusia.

Kesimpulan 

Dalam dunia yang semakin moden, alam semula jadi adalah nadi yang memautkan manusia kepada makna yang lebih besar. Hubungan antara reka bentuk barang kemas dan alam mencerminkan falsafah yang mendalam, bahawa alam bukan sekadar inspirasi, tetapi juga cerminan keindahan, kekuatan mahupun kelemahannya. Di dalam perkongsian ini, cincin dengan motif flora dan fauna atau batu permata yang berkilauan adalah seperti puisi bisu, menyuarakan cerita tentang harmoni dan kelestarian alam. Seperti halaman kesusasteraan kontemporari yang menjadikan alam sebagai metafora untuk isu identiti dan kelestarian, barang kemas bertemakan alam menjadi naratif visual mengangkat cerita yang sama. Dalam kerangka moden, ia berfungsi sebagai peringatan lembut tentang pentingnya keseimbangan antara manusia dan ekosistemnya, menjadi penghubung antara keindahan estetik dan kesedaran ekologi.

Reka bentuk ini bukan sahaja objek seni, tetapi juga medium simbolik yang menjalin hubungan antara manusia dan bumi. Sama seperti karya sastera yang menghidupkan cerita, barang kemas ini memahat naratif kehidupan ke dalam logam dan batu permata. Gabungan falsafah ini menegaskan bahawa inspirasi alam akan terus relevan, membentuk seni yang merapatkan jurang antara manusia dan dunia semula jadi yang menjadi sumber kehidupannya.

References

  1. Aziz, A. (2021). Konsep mimesis dalam seni Melayu/Arba’iyah Ab. Aziz. International Journal of Art and Design (IJAD), 5(2), 45-58.
  2. Hashim, H. Z. (2021). NOTA KAMPUS – REKAAN BARANG KEMAS DAN JIHAD EKONOMI ERA PANDEMIK, https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2028931
  3. Hashim, H. Z., Rahman, K. A. A., Alli, H., Effendi, R. A. A. R., Omar, W. W., & Akma, N. Z. (2018). Inspirational of Biomimicry Approach through Creating Jewellery Design. In Lecture Notes in Social Sciences, Arts and Humanities. Symposium on Social Sciences, Arts and Humanities.
  4. Liu J. W., Oosato H., Liao M. Y., Koide Y. (2017), ‘Enhancement-mode hydrogenated diamond metal-oxide-semiconductor field-effect transistors with Y2O3 oxide insulator grown by electron beam evaporator’. Applied Physics Letters, 110 (20), pp. 203502
  5. Vones, K. (2013). Foreign Bodies–The creation of symbiotic jewellery through the development and application of stimulus-responsive smart materials and microelectromechanical systems. Advances in Science and Technology, 81, 49-54.

Biografi penulis

Hema Zulaika Hashim, seorang pensyarah kanan di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, telah mengabdikan dirinya dalam bidang Metalworking dan Rekaan Barang Kemas sejak tahun 2006. Perjalanan akademiknya bermula dengan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan Reka Bentuk (Kepujian) dalam Logam Halus di UiTM pada tahun 2001, sebelum meneruskan pengajian Sarjana dalam Teknologi Rekaan (2005). Dedikasi dan kecintaannya terhadap seni membawa beliau lebih jauh, pada tahun 2019, Hema dianugerahkan Doktor Falsafah dalam Reka Bentuk Bersepadu, dengan pengkhususan dalam bidang Barang Kemas dan Perak di Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebagai seorang pendidik, Hema tidak sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga membangkitkan rasa ingin tahu yang mendalam di kalangan pelajarnya. Beliau menginspirasikan mereka untuk mempercayai naluri kreatif sambil mencabar asumsi melalui pemerhatian, eksplorasi, dan penciptaan bentuk. Sebelum menyertai UiTM, beliau adalah seorang pereka barang kemas, mencipta karya unik untuk pelbagai klien dari latar belakang yang berbeza, membina asas yang kukuh dalam seni pertukangan logam. Pengalaman pentadbirannya juga menyerlah, dengan peranan sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Seni dan Reka Bentuk UiTM, serta Timbalan Pengarah (Teknologi Industri) di Research Nexus, UiTM. Dalam peranan ini, beliau berjaya menjayakan inisiatif inovasi dan penyelidikan yang memberi impak besar kepada bidangnya. Hema adalah lambang seni yang berpadu dengan falsafah, mencerminkan dedikasinya terhadap warisan kreatif dan pemerkasaan generasi seni akan datang.